Wednesday, April 23, 2008

Ciri-Ciri Penyelidik Muslim



Ciri-Ciri Penyelidik Muslim yang telah keudara di IKIM sembang petang dengan IR Ahmad Jais.

(IR. ni colleage Umi, sekursus PTK masa dia masih di Fakulti Kejuruteraan, UKM). Ummi paparkan artikel penuh yang dihantarnya dalam egroups Cerna Minda (pendengan IKIM) ini bukan kerana Ummi seorang penyelidik tetapi Ummi harapkan ciri2 penyelidik ini yang seharusnya ada dalam setiap individu muslim dibudayakan oleh anak2 Ummi, mudah2an dapat menjadi mangkin ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Amin.

Menurut Az-Zarnuji, para penyelidik Muslim perlu memiliki ciri-ciri berikut:

i. ‘Aqlun Zakiyun (akal yang cerdik)
ii. Hirsun (keinginan yang kuat)
iii. Ijtihad (usaha yang bersungguh-sungguh)
iv. Bulghah (kecukupan dalam perbelanjaan)
v. Suhbah al-Ustaz (bersahabat dengan guru)
vi. Tuul az-Zaman (masa yang panjang)

Jika diteliti secara rapi, memang inilah keperluan yang perlu ada pada para penyelidik, dan sekiranya dapat digilapkan kembali, tidak mustahil untuk para penyelidik Muslim menempa kembali kegemilangan tamadun silam.

Akal yang Cerdik

Kecerdikan atau kepintaran adalah pra-syarat untuk seseorang menceburi kegiatan penyelidikan, kerana sememangnya tugas asasi penyelidik adalah cuba memahami dan mengkaji mengenai sesuatu fenomena atau permasalahan, dan berusaha mengemukakan penyelesaian atau penambahbaikan terhadap permasalahan tersebut. Kesemua ini memerlukan tahap pemikiran yang terdidik, mengikuti satu proses pembelajaran yang formal, serta memiliki daya analisis dan sintesis yang tinggi. Ini semua dapatlah disimpulkan dengan kalimah ‘akal yang cerdik’.

Oleh itu, sekiranya institusi penyelidikan Muslim ingin menempa kembali keagungan silam, maka para penyelidik yang bergabung di dalamnya perlulah dipastikan mencapai tahap kecerdikan atau keupayaan akal yang tertentu. Ini dapat kita perhatikan, menjadi amalan institusi-institusi penyelidikan dunia yang tersohor, seperti Harvard, MIT, Oxford dan sebagainya, yang hanya menerima pelajar dan sarjana yang terbaik sahaja sebagai penyelidik di institusi mereka.

Keinginan yang Kuat

Keinginan (atau desire) adalah juga sifat asasi yang perlu ada pada diri penyelidik. Penyelidikan adalah satu pengembaraan menuju ketidakpastian, yang pastinya menuntut kesabaran, ketekunan, kekuatan azam dan keinginan yang kuat. Penyelidik yang benar-benar menghayati bidang penyelidikannya, akan ‘tenggelam’ di dalam dunianya sendiri, dan mampu melaburkan pelbagai perkara untuk kejayaan penyelidikannya.

Keinginan yang kuat juga lahir dari minat dan bakat yang dipupuk sejak kecil, serta kemahiran yang digilap melalui latihan dan proses pengembangan dayacipta dan kreativiti penyelidik. Oleh itu, sistem pendidikan sejak dari bangku sekolah lagi, perlu menjurus ke arah pengembangan potensi diri, melatih daya kreativiti, mendorong pelajar agar berkarya, dan menumbuhkan minda ingin tahu dan meneroka alam semesta.

Usaha Yang BerSungguh-Sungguh

Kerja-kerja penyelidikan yang berjaya, semestinya dilalui dan ditempuhi dengan usaha yang bersungguh-sungguh, tidak kenal henti, tanpa rasa penat dan kejenuhan di dalam pencarian penyelidikannya. Inilah yang tergambar pada perjalanan yang jauh dan menyulitkan, yang ditempuhi oleh para muhaddithin, dalam mencari, mengumpul dan menyaring ribuan hadith, sebelum terhasil kitab rujukan muktabar untuk tatapan kita kini.

Pengalaman penyelidik barat juga hampir sama, apabila Thomas Edison menyatakan bahawa beliau bukannya menempuh 99 kegagalan, tetapi menemui 99 cara yang tidak menghasilkan lampu elektrik. Ini adalah manifestasi usaha yang tidak jemu, tetap meneruskan kerja penyelidikan, walaupun mungkin menghadapi kesulitan, kesamaran dan kegagalan di beberap peringkat penyelidikan tersebut. Oleh itu, penyelidik Muslim perlu menguatkan daya juang dan daya saing mereka, untuk terus berusaha menempa kecemerlangan di dalam penyelidikan kini.

Kecukupan dalam Perbelanjaan

Faktor ini menekankan kepada perlunya memiliki kekuatan kewangan dan harta, untuk melakukan penyelidikan. Tamadun Islam di Baghdad misalnya, mendapat dokongan kuat daripada pemerintah ketika itu, melalui penyediaan pra-sarana, khutub khanah dan kemudahan untuk para penyelidik Muslim di zaman itu. Pembinaan beberapa balai cerap untuk mengkaji astronomi adalah satu lagi bukti, betapa kekuatan kewangan adalah dikira antara faktor kritikal yang membantu mengembangkan aktiviti penyelidikan.

Di zaman ini, penawaran pelbagai geran penyelidikan, biasiswa, skim zamalah penyelidik dan pelbagai insentif yang tersedia, seharusnya dilihat sebagai satu elemen positif ke arah memajukan bidang penyelidikan, khususnya di negara kita.

Kecukupan dalam Perbelanjaan juga boleh diertikan dengan mengiktiraf bidang penyelidikan dan kerjaya sebagai penyelidik sebagai satu kerjaya yang berprestij, dan perlu digalakkan untuk diceburi oleh para sarjana dan penuntut diperingkat pasca-siswazah. Sekiranya tawaran yang diperolehi sebagai penyelidik lebih baik, atau sekurang-kurangnya setimpal dengan apa yang ditawarkan oleh organisasi atau industri di luar, maka isu ‘penghijrahan cerdik-pandai atau ‘brain-drain’ tidak akan menjadi suatu yang serius. Keupayaan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan institusi penyelidikan lainnya untuk mengekalkan penyelidik yang terbaik untuk bersama-sama mereka, akan memastikan kejayaan sesuatu rancangan penyelidikan untuk jangkamasa panjang.

BerSahabat dengan Guru

Guru dalam konteks hari ini adalah mereka yang pakar, atau tersohor di dalam bidang penyelidikan yang diceburi. Sekiranya penyelidik Muslim hari ini ingin kembali bersinar, mereka perlu berusaha untuk mengutip kembali khazanah ilmu tersebut daripada tokoh atau individu yang menjadi pakar rujuk di dalam bidang tersebut.

Usaha untuk menghantar dan menaja para pelajar melanjutkan pengajian di universiti ternama di luar negara, dan melakukan penyelidikan di bawah seliaan dan pemantauan para profesor dan penyelidik tersohor dunia, adalah suatu usaha yang perlu digarap dan diteruskan.

Dalam sisi lain, adab antara murid dan guru perlu dihidupkan kembali. Murid perlu bergaul dengan guru dengan adab dan etika yang profesional, berusaha mentaati guru, bergaul dan mendapat sebanyak mungkin didikan dan asuhan daripada guru, samada melalui interkasi formal mahupun informal, kerana inilah konsep pendidikan secara holistik.

Guru pula perlu menjadi contoh di dalam pendidikan, bukan sekadar mahir berteori dan berfalsafah, tetapi juga memilik akhlak dan keperibadian yang mampu mendidik, mencorak dan mempengaruhi anak muridnya, agar ilmu yang diajari benar-benar barakah dan membawa kebaikkan kepada kehidupan.

Masa yang Panjang

Sememangnay tiada jalan singkat untuk mencipta kegemilangan. Penyelidikan yang berjaya membawa impak dan dampak yang kuat di dalam tamadun kemanusiaan, selalunya adalah hasil daripada tempoh kajian yang panjang. Oleh itu, keupayaan untuk merancang dan menguruskan penyelidikan untuk satu julat masa yang panjang, perlu dimiliki oleh para penyelidik Muslim kini.

Kewujudan pusat-pusat pengurusan penyelidikan di IPT hari ini, adalah satu langkah yang positif ke arah memantau dan memastikan program penyelidikan dapat dirancang dan dilaksanakan secara berkesinambungan, melangkaui beberapa generasi penyelidik.

Penyelidik yang terdahulu (senior) perlu akur, bahawa mereka akhirnya perlu mewarisi kerja-kerja penyelidikan itu untuk diteruskan oleh penyelidik muda (junior) yang hadir kemudian. Dengan kesedaran ini, maka bidang penyelidikan tersebut akan menjadi semakin matang dan mantap, dan hasil penyelidikan akan dapat dimanfaatkan oleh beberapa generasi. Lihatlah rantaian para ulama’ silam, yang hadir silih berganti, mewarnai bidang tafsir, hadith, kalam, usuluddin, fiqh, tasawuf dan sebagainya, yang mana hasilnya dapat kita manfaatkan kini. Sikap ego, takbur dan angkuh, atau merasakan dirinya ingin memonopoli dan menjadi jaguh pada sesuatu bidang, perlu dikikis jauh-jauh oleh penyelidik Muslim.

1 comment: